Malbatt 5 terima anugerah PBB

Ahmad Kamarulzaman bergambar bersama anggota yang menyertai Malbatt 5 sempena majlis Perbarisan Pembubaran dan Pemakaian Pingat Perkhidmatan Negara Bangsa-bangsa Bersatu (PNBB) Malbatt 5 Bagi Misi UNIFIL di sini semalam.
PORT DICKSON - Seramai 540 anggota terdiri daripada 55 pegawai dan 485 anggota lain-lain pangkat pasukan Batalion Malaysia 5 (Malbatt 5) dianugerahi pingat Perkhidmatan Negara Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Anugerah itu bagi mengiktiraf kejayaan pasukan berkenaan menjalankan misi Pasukan Interim PBB (Unifil) di Lubnan selama 12 bulan mulai 22 Oktober 2012.
Ketua Staf Markas ATM Laksamana Madya Datuk Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badarudin menyampaikan anugerah itu yang diadakan sempena perbarisan pembubaran Malbatt 5 dan upacara menanggalkan beret biru PBB di padang kawad Rejimen Kedua Kor Armor Diraja, Kem Sunggala di sini semalam.
Sebanyak 20 anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei diketuai Kol Zainal Abidin M Said turut menerima anugerah dan menyertai perbarisan itu.
Bercakap kepada pemberita, Ahmad Kamarulzaman berkata Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mempunyai panduan dan standard yang telah ditetapkan bagi memastikan aspek keselamatan dipatuhi sebelum melepaskan anggotanya menyertai misi keamanan PBB.
Ahmad Kamarulzaman berkata, aspek keselamatan ini turut meliputi keperluan mengendalikan peralatan ketenteraan di kawasan misi mencabar seperti keadaan muka bumi dan jalan sempit.
“Persiapan yang tinggi semasa menjalankan operasi di lapangan (di luar kem) perlu dilakukan dari semasa ke semasa seiring piawaian yang ditetapkan PBB bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini.
“Kita mempunyai Markas Angkatan Bersama (MKAB) bertanggungjawab mengawal selia segala operasi luar negara termasuk di Lubnan. Selain menghantar kontinjen dalam misi luar negara, MKAB mengkoordinasikan penugasan pegawai pemerhati dan pegawai staf PBB di dalam misi itu,” katanya.
Pada 24 Ogos lepas, seorang anggota pasukan Malbatt 5, Sarjan Rosdi Mohammad Zan, 32, maut apabila kenderaan kembalik yang dinaikinya hilang kawalan dan terhumban 15m ke dalam cerun ketika menyertai misi Unifil di Lubnan. - Bernama
0 komentar:
Posting Komentar